Thursday, August 4, 2016

Pulau Perhentian


Pulau Perhentian adalah salah satu pulau di dunia yang sangat indah dan cantik, menurut Lonely Planet iaitu sebuah firma panduan pelancong terbesar di dunia. Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau Perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.
Pulau Perhentian yang bermaksud ‘Pulau Laluan Hentian’ terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20km) ke Timur Laut Kuala Besut, Besut. Keluasan keseluruhan Pulau Perhentian adalah 1392.15 hektar.
Terletak berdekatan dengan Taman Laut Pulau Redang, Pulau Perhentian mempunyai Terumbu Batu Karang yang cukup cantik dan menjanjikan pemandangan mempesona yang sesuai untuk aktiviti ‘snorkeling’ serta selam skuba. Laut di sekitar pulau pula terdapat Batu Karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesies Batu Karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis Batu Karang lagi di setiap 200 meter persegi kawasan laut.
Air yang membiru, pasir yang memutih, pengalaman merentas denai hutan yang menyeronokkan, menyelam dan aktiviti kesukaan ramai iaitu berjemur di bawah sinaran matahari hanyalah antara beberapa aktiviti yang boleh dialami dan dirasai di Pulau Perhentian. Ini kerana banyak lagi yang boleh diterokai di Pulau Perhentian.

Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iatu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil dan juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar.
Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing dimana boleh mencapai setinggi 70km hingga 300km. Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesies pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu.

Terdapat juga spesies Burung Layang-Layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti mengelilingi pulau atau menyewa bot kecil untuk meneroka Teluk Swasta yang cantik memukau. Kunjungan anda ke sini pasti memberi pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan 1001 kenangan indah dalam hidup anda.
Antara kedua-dua pulau, Pulau Perhentian Kecil amat sesuai dengan ‘backpackers’ di mana mereka akan menemui pelbagai pakej menarik yang sesuai dengan bajet terutama untuk penginapan dan makanan. Pulau Perhentian Besar pula lebih menawarkan penginapan dan kemudahan yang mewah. Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk pusat peranginan mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, bilik serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari.

Bagaimana untuk ke Pulau Perhentian.
Pengunjung boleh menaiki bot di Jeti Kuala Besut atau Jeti Tok Bali untuk ke Pulau Perhentian. Dari Jeti Kuala Besut, anda boleh memilih untuk menyewa bot biasa atau bot laju. Dengan bot laju, perjalanan ke Pulau Perhentian hanya mengambil masa 30 minit, sementara menggunakan bot biasa perjalanan akan mengambil masa lebih lama. Dari Jeti Tok Bali di Kelantan, perjalanan ke Pulau Perhentian mengambil masa kira-kira 45 minit.

Pulau Redang

Pulau Redang terletak kira-kira 45 km dari Bandar Kuala Terengganu dan merupakan antara pulau yang tercantik di Malaysia. Taman Laut Pulau Redang terdiri dari sembilan buah pulau iaitu Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Lima, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar dan Pulau Paku Kecil. Dari sembilan buah pulau ini, Pulau Redang ialah pulau yang terbesar.
Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas (tanda paras air di pantai) air surut terendah dengan tujuan melindungi dan memelihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik.
Taman Laut Pulau Redang bukan sahaja dianugerahkan keindahan alam semulajadi, malah pelbagai kemudahan turut disediakan untuk pengunjung seperti bilik mandi, tandas dan tempat berkelah. Taman Laut Pulau Redang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti snorkel, selam skuba, berkelah, berkhemah, memancing, menaiki bot, berenang, merentas denai hutan, memanjat bukit, memerhati burung, meninjau hidupan liar dan mengambil gambar di darat dan dasar laut.
Taman Laut Pulau Redang yang di bawah jagaan Jabatan Taman Laut Malaysia ialah kawasan yang dilindungi. Ini bertujuan untuk melindungi dan memelihara kehidupan laut untuk generasi akan datang. Pelancong yang berkunjung ke sini tidak dibenarkan membawa keluar semua jenis hidupan laut dari Taman Laut Pulau Redang ini.
Aktiviti snorkel dan selam skuba ialah cara terbaik untuk memerhati dan menikmati terumbu batu karang di Pulau Redang. Kawasan perairan di Taman laut Pulau Redang ini nerupakan salah satu tempat menyelam yang paling menarik dan menakjubkan. Jarak penglihatan adalah sangat baik hampir sepanjang tahun. Peralatan untuk aktiviti ini boleh disewa dari kedai berhampiran.
Di Pulau Redang terdapat beberapa lokasi menarik untuk aktiviti perkhemahan. Anda boleh melakukan aktiviti perkhemahan di Teluk Dalam, Pasir Teluk Kalong, Pasir Panjang, Pasir Mak Simpan, Pasir Mat Kepit dan Pasir Chagar Hutang.

Pulau Redang juga mempunyai dua buah pantai yang cantik iaitu Pantai Pasir Panjang dan Pantai Teluk Dalam Kecil. Di Pantai Teluk Dalam Kecil ini ialah lokasi Berjaya Redang Beach Resort, sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Pelancong yang gemarkan aktiviti pengembaraan boleh menyewa bot dengan kadar harga yang berpatutan untuk lawatan ke pulau-pulau berhampiran. Anda boleh melihat pembentukan batuan dan hutan hujan yang meliputi sebahagian besar pulau. Anda juga boleh mengembara dengan berjalan kakisambil memerhati burung, melihat penyu dan tumbuh-tumbuhan. Di kawasan Taman Laut Pulau Redang iaitu di Pulau Pinang, pengunjung boleh mendapatkan segala bantuan dan maklumat yang anda perlu untuk menjadikan percutian anda suatu pengalaman menyeronokkan.

Maklumat yang disediakan ialah dalam bentuk pameran, peta, risalah, tayangan video dan ceramah. Anda akan mendapat informasi berguna terutama mengenai denai-denai dan kawasan-kawasan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong di pulau ini.

Penginapan
Untuk tempat penginapan, anda boleh menginap di Pulau Redang atau di tanah besar di sekitar Kuala Terengganu atau Merang. Sila rujuk di sini. Antara hotel yang terdapat di Pulau Redang ialah Laguna Redang Resort dan Berjaya Redang Resort.

Bagaimana Untuk Ke Pulau Redang
Untuk ke Pulau Redang, anda boleh menaiki bot dari Jeti Merang yang mengambil masa 45 minit perjalanan atau dari Jeti Taman Shahbandar, Kuala Terengganu yang mengambil masa 1 jam. Anda juga boleh menaiki penerbangan terus ke Pulau Redang melalui Syarikat Penerbangan Berjaya Air.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu
Tel: 09-6221433, 09-6221893

Jabatan Taman Laut Negeri Terengganu
No. 16, Blok B, Bestari Centre Jalan Hiliran,
Pulau Kambing, 20300 Kuala Terengganu,
Terengganu.
Tel : 09-6312062
Faks: 09-6227266

Pusat Taman Laut Pulau Redang
Pulau Redang,
21080 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.
Laman Web: Jabatan Taman Laut Malaysia
Emel: utlterengganu@nre.gov.my