Mengikut cerita penduduk
tempatan, nama Pulau Lang Tengah berasal dari nama Burung Helang yang berehat
di Pulau Tengah. Saiz pulau yang kecil menjadi satu kelebihan. Pelancong akan
beroleh ketenangan dan keselesaan bila berada di Pulau Lang Tengah.
Pulau Lang Tengah terletak di
antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau Lang Tengah dikenali sebagai
antara tapak selam skuba yang terbaik di Malaysia. Di pulau ini, terdapat 15
lokasi selam skuba. Antara lokasi popular ialah Batu Kuching, Terumbu Kuning
dan Tanjong Nibong Laut. Lokasi ini adalah berdekatan dan anda boleh menaiki
bot untuk ke setiap lokasi.
Anda boleh meneroka keindahan
Pulau Lang Tengah melalui pelbagai aktiviti. Selain dari selam skuba, anda juga
boleh melakukan aktiviti snorkel di Pulau Lang Tengah. Air yang tenang dan
jernih membolehkan anda melihat dengan jelas pemandangan kehidupan di dasar
laut.
Memancing merupakan pilihan menarik sebagai salah satu aktiviti anda di
Pulau Lang Tengah. Anda boleh menyewa bot untuk ke lokasi memancing di sekitar
pulau ini. Terdapat juga hotel dan resort yang menjadikan aktiviti memancing
sebahagian dari pakej penginapan.
Masa terbaik untuk berkunjung ke
Pulau Lang Tengah ialah dari Mac hingga Oktober. Ini kerana banyak tempat
penginapan di tutup ekoran musim tengkujuh dari bulan November hingga Februari.
Walaupun tidak terkenal seperti Pulau Redang atau Pulau Perhentian, Pulau Lang
Tengah tetap menawarkan sesuatu yang menarik kepada pelancong tempatan mahu pun
pelancong luar.
Untuk ke Pulau Lang Tengah, anda
boleh menaiki bot dari Jeti Merang. Jarak dari Jeti Merang ke Pulau Lang Tengah
ialah 24 km yang mengambil masa antara 30-40 minit perjalanan. Anda juga boleh
menaiki Feri yang bertolak dari Jeti Merang pada pukul 10.00 pagi dan 12.00
tengahari dan bertolak balik dari pulau pada pukul 8.30 pagi dan 2.00 petang.
No comments:
Post a Comment